Refleksi keseluruhan BMM3105 (Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan Komputer)
Assalamualaikum wbt, salam sejahtera, dan salam 1 Malaysia kepada semua rakan sekuliah dan pelayar laman web sekalian.
Syukur Alhamdulillah, berkat doa dan izin-Nya maka dapatlah saya siapkan kerja kursus untuk Subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu Berbantukan Komputer (BMM3105). Di ruangan ini juga, tidak saya lupakan pensyarah yang membimbing, memberi tunjuk ajar dan sentiasa bersabar dengan tingkah laku anak didik beliau yang penuh dengan kepelbagaian karenah masing-masing.
Sering kita dengar dan lihat murid-murid mengatakan bahawa antara mata pelajaran yang paling membosankan di kelas ialah Bahasa Melayu. Benarkah kenyataan ini?. Pandangan saya, kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali. Melalui pengetahuan dan pengalaman saya semasa menjadi murid di sekolah dahulu, yang sebenarnya menjadi faktor kepada ketidakminatan murid itu dalam sesuatu mata pelajaran adalah melalui bagaimana sesuatu perancangan dan pelaksanaan seseorang guru itu di dalam kelas. Di samping itu, sesuatu mata pelajaran itu akan menjadi tidak menarik jika bahan dan juga cara gaya tersebut menyampaikan tidak menarik serta tidak dapat mengawal kelas dengan baik.
Selain itu, sesuai dengan peredaran semasa yang penuh cabaran teknologi kini, murid-murid sebenarnya lebih suka dan tertarik jika pengajaran seseorang guru itu dapat diaplikasikan menggunakan teknologi semasa dan lebih mencabar. Oleh itu, kursus ini banyak memberi manfaat dan kelebihan kepada saya untuk digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran semasa di sekolah nanti. InsyaAllah.
Sepanjang saya melaksanakan dan membina laman web ini, banyak pengalaman dan ilmu serta kemahiran baru yang dapat saya peroleh dan timba. Saya sedar bahawa sebagai seorang pendidik, pengalaman dan ilmu haruslah ditimba dan dicari sebanyak mungkin sebagai persediaan dan bekalan setelah tamat pengajian nanti . Oleh itu, melalui kursus ini secara tidak langsung saya dapat mengumpul dan menyimpan sebanyak bahan yang boleh sebagai simpanan dan bekalan saya nanti untuk dijadikan sebagai bahan bantu pengajaran. Di samping itu, saya sedar bahawa sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas memerlukan perancangan dan pelaksanaan yang pelbagai, menarik serta menyeronokkan murid. Melalui kursus ini, secara langsung saya dapat belajar bagaimana untuk membina bahan yang menarik untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, misalnya menghasilkan video yang menarik sesuai dengan tajuk dan tema yang hendak di ajar oleh guru tersebut. oleh itu, peluang dan ruang sepanjang kursus ini dilaksanakan akan saya manfaatkan sebanyak yang mungkin.
Sebagai seorang bakal guru, salah satu kemahiran yang perlu dimahiri dan dipelajari ialah kemahiran membina dan mengaplikasikan laman web. Saya sedar bahawa segala maklumat masa kini boleh diakses ataupun dicari menggunakan hujung jari sahaja, bermaksud maklumat yang ingin kita capai sungguh mudah dan senang dicapai melalui akses internet. Dengan itu, melalui kursus ini saya dapat belajar bagaimana membina laman sesawang pengajaran dan pembelajaran untuk murid khususnya untuk subjek Bahasa Melayu (Major saya) di samping dapat memuat naik dan turun bahan yang disalurkan. Kesannya, pengajaran dan pembelajaran itu akan menjadi lebih mudah di samping dapat mempertingkatkan kemahiran murid dalam menggunakan Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Secara tuntasnya, dapatlah saya simpulkan bahawa kursus ini memberi ruang serta peluang kepada saya untuk menimba sebanyak mungkin kemahiran teknologi maklumat untuk diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran khususnya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Selain itu, kursus ini juga dapat meningkatkan kemahiran yang dapat membantu serta mempermudahkan proses penyampaian pengajaran di dalam kelas kelak. Akhir kata, segala ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dimiliki dapat terus dikembangkan dan digunakan semaksimum yang mungkin serta diaplikasikan di sekolah nanti. InsyaAllah,